DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PEMBENTANGAN RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS, 2021-2025 (RMKe-12)
RMKe-12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19. Ramai dalam kalangan kita, Keluarga Malaysia yang terkesan. Dalam persekitaran dan kebiasaan baharu ini, ada yang hilang nyawa dan pekerjaan. Demi kelangsungan hidup, ada di antara kita yang terpaksa menceburi bidang kerja yang baharu atau melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.
–> Sila baca TERKINI: PEMERKASA Bantuan RM500 ‘one-off’ untuk golongan B40 – permohonan & tarikh bayaran
Sembilan Fokus Utama Rancangan Malaysia Ke-12
• Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi;
Fokus pertama ini tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu. Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan.
• Kedua: Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan;
Kerajaan akan merapatkan jurang digital, terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital. Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu.
• Ketiga: Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia;
Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.25 bilion ringgit dalam tempoh RMKe-12. Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75 ribu unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar.
• Keempat: Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam;
Antara projek yang akan dilaksanakan, termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara di Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim. Selain daripada itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12.
• Kelima: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan;
Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.
• Keenam: Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;
Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Selain daripada itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluaskan bagi menyokong usahawan Bumiputera.
• Ketujuh: Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;
Peruntukan berjumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12. Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.
• Kelapan: Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau;
Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.
• Kesembilan: Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.
Struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi. Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik. Cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara Anggota Pentadbiran dengan penjawat awam.
Maklumat Lanjut
Bagi maklumat lanjut, sila baca kenyataan sepenuhnya di sini. Sila layari laman web kerajaan yang sahih di sini.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia amat memerlukan bantuan di waktu pandemik ini. Diharapkan rakyat Malaysia mendapatkan semua informasi tentang bantuan kerajaan yang layak diterima. Jangan lupa untuk beritahu rakan-rakan dan keluarga anda supaya semua boleh menerima bantuan yang telah disediakan kerajaan yang boleh didapati di Portal Manfaat.
Layari MyInfoKerja bagi maklumat-maklumat terkini berkaitan bantuan kerajaan dan isu semasa.
–> Sila baca Semak Bantuan Barang Dapur RM100 Setiap Isi Rumah Guna MyKad | PRIHATIN Kasih