Niat Mahu Bantu Keluarga, Jejaka Cacat Penglihatan Berjaya Genggam Segulung Ijazah UM
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan…
Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) ini telah berjaya berjaya menamatkan pengajiannya dan menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UM kali ke-62.
Kecacatan yang terjadi kepada dirinya tidak menjadi alasan untuk duduk berpeluk tubuh dan berserah kepada takdir. Thew Ming Soon, jejaka berasal dari Johor Darul Takzim yang mengalami masalah cacat penglihatan membuktikan kepada umum bahawa jika ada usaha, kejayaan pasti datang.
“Saya perlu mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan sistem dan aplikasi semasa pengajaran dan pembelajaran secara atas talian. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kebanyakan aplikasi mudah untuk saya gunakan,” ujarnya berkongsi cerita.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi universiti tersebut, Thew Ming Soon berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya apabila pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan mod pembelajaran terpaksa dilakukan secara dalam talian.
Kongsi Ming Soon tentang visinya untuk menyelesaikan pengajian, “Antara motivasi saya untuk tamatkan pengajian ialah mempunyai matlamat yang jelas untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membantu keluarga.”
Biarpun terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan pembelajaran yang baru, dia tidak pernah berputus asa. Sebaliknya mencari penyelesaian agar mampu menjalankan pengajian seperti mana sahabat yang lain. Tanpa motivasi dan semangat yang jelas mustahil semuanya boleh berjalan lancar.
Kredit foto konvokesyen: Fazli Zainordin & Fadhli Yong untuk CCC
Dalam tinjauan REMAJA di akaun linkedin milik jejaka ini, sebelum ini dia pernah menjadi pelatih latihan industri di St. Nicholas Home, Pulau Pinang (Rumah Orang-Orang Buta) pada 2018 dan kemudiannya menjalankan latihan industri di Pusat Kaunseling dan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya, Universiti Malaya pada 2022.
Sumber : remaja